18 C
New York
Monday, November 18, 2024

ASEAN NCAP lancar protokol baharu penilaian ujian pelanggaran, panduan keselamatan awam untuk EV


ASEAN NCAP lancar protokol baharu penilaian ujian pelanggaran, panduan keselamatan awam untuk EV

Dengan semakin banyak kenderaan yang menggunakan sistem elektrifikasi bervoltan tinggi termasuk kenderaan elektrik bateri (BEV) dan juga plug-in hybrid (PHEV), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) hari ini telah menlancarkan tiga dokumen penting berkaitan keselamatan kenderaan sedemikian, dan ia termasuk Protokol Penilaian Kenderaan Elektrik Bervoltan Tinggi untuk Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP).

Majlis pelancaran berkenaan diadakan di Makmal Ujian Pelanggaran PC3 MIROS yang terletak di Ayer Molek, Melaka dan ia disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Protokol Penilaian Kenderaan Elektrik Bervoltan Tinggi berkenaan akan memperkenalkan penilaian keselamatan untuk Kenderaan Elektrik Voltan Tinggi (HVEV) di bawah protokol ASEAN NCAP 2026-2030 baharu yang bakal digunakan kelak. Protokol ini merangkumi ujian komprehensif untuk keselamatan pengasingan elektrik, sistem voltan tinggi, dan prosedur kecemasan, dengan penekanan pada aspek keselamatan pengasingan elektrik bagi meminimumkan risiko kejutan elektrik semasa penilaian dijalankan.

Dokumen seterusnya adalah Garis Panduan Keselamatan Makmal Ujian Pelanggaran Kenderaan Elektrik, di mana ia adalah panduan komprehensif bagi Makmal MIROS PC3 untuk mematuhi spesifikasi dan keperluan ASEAN NCAP dalam menjalankan ujian perlanggaran EV. Panduan ini bertujuan memastikan keselamatan pegawai, juruteknik, dan pemerhati serta meminimumkan risiko kecederaan sepanjang proses ujian perlanggaran.

ASEAN NCAP lancar protokol baharu penilaian ujian pelanggaran, panduan keselamatan awam untuk EV

Dalam majlis pelancaran tiga dokumen tersebut hari ini, MIROS turut telah memulakan ujian pertama pelanggaran EVnya untuk ASEAN NCAP di makmal PC3 berkenaan. Walau bagaimanapun untuk ujian awalan ini, tambahan penilaian yang dikenakan untuk EV hanyalah untuk melihat sama ada kenderaan tersebut mengalami kebocoran voltan tinggi atau tidak selepas berlakunya kemalangan.

Untuk memastikan sama ada terjadi kebocoran voltan atau tidak selepas berlaku impak adalah sangat penting kerana sekiranya kebocoran tersebut berlaku, ia akan menyebabkan insiden lain termasuk kebakaran dan juga mungkin membahayakan penumpang dan orang ramai sekitar kenderaan berkenaan.

Sekiranya kenderaan yang diuji disahkan tidak berlaku kebocoran voltan, ia akan diberikan penarafan “Selamat” dalam laporan ujian tersebut. Tetapi buat buat masa sekarang menggunakan protokol sedia ada, penarafan tersebut masih belum mempengaruhi pemberian bintang dalam keputusan keseluruhan.

Manakala untuk pengguna jalan raya awam, MIROS turut melancarkan dokumen “Panduan Keselamatan untuk Pengguna Jalan Raya dan Orang Ramai Berkenaan Insiden Kenderaan Elektrik” atau MyEVIM. Dokumen MyEVIM ini merupakan panduan yang memberikan penerangan tentang langkah-langkah pengurusan insiden EV secara selamat untuk orang ramai, termasuk sekiranya berlaku kebocoran voltan sekiranya berlaku kemalangan membabitkan EV.

ASEAN NCAP lancar protokol baharu penilaian ujian pelanggaran, panduan keselamatan awam untuk EV

Panduan ini bertujuan membantu pengguna jalan raya dan orang awam memahami risiko yang mungkin dihadapi serta menyediakan amalan terbaik bagi pengurusan dan tindakan selamat semasa menggunakan EV atau ketika berhadapan dengan insiden melibatkan EV.

MyEVIM terpakai untuk semua jenis EV, termasuk kereta, motosikal, bas, dan trak, kecuali kenderaan mikromobiliti seperti yang ditakrifkan dalam Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020. Panduan ini juga menjadi rujukan asas bagi pembuat dasar dalam menyediakan kerangka pembangunan piawaian teknikal masa depan, termasuk penilaian risiko dan spesifikasi teknikal.

MIROS menyatakan bahawa pelancaran dokumen-dokumen ini serta pelaksanaan ujian perlanggaran adalah selaras dengan
Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022-2030, yang berhasrat mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya sekurang-kurangnya 50% menjelang 2030. Inisiatif ini turut menyokong penggunaan kenderaan yang lebih selamat dengan penyesuaian teknologi kenderaan generasi baharu, termasuk keselamatan EV dan pengurusan pasca kemalangan, tambah agensi itu lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.



Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Latest Articles